mutakhir

Rantaian bekal daging sejuk beku disiasat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengarahkan pemeriksaan dijalankan terhadap rantaian pembekalan daging sejuk beku bagi memastikan status halal produk itu termasuk kes kartel daging di Senai, Johor.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemeriksaan itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak 4 Disember lalu.

Katanya, menerusi tindakan segera itu, sebanyak 128 premis sudah diperiksa dan tiada tindakan diambil melainkan kes di Johor.

"Kementerian tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perbahasan halal secara palsu untuk memperdaya dan mengelirukan pengguna sehingga menyebabkan hak mereka terjejas.

"Siasatan juga sudah dijalankan mengikut Perenggan 8, Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

"Kementerian juga menjalankan siasatan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 sekiranya mendapati sumber produk berkenaan diperoleh daripada sumber atau daging yang tidak halal," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang meminta menteri menyatakan perkembangan siasatan dan langkah tegas kerajaan dalam menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai, Johor, baru-baru ini.

Menjawab kes kartel itu, Alexander berkata, setakat ini, pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti, mengambil keterangan dan rakaman percakapan saksi serta mendapatkan maklumat dan dokumen lain daripada agensi yang berkaitan.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 1:56pm
d