mutakhir

Belanjawan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lulus

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu selepas diputuskan menerusi undi belah bahagian oleh Ahli Parlimen sebaik sesi perbahasan dan penggulungan menteri selesai.

Menerusi undi belah bahagian yang dijalankan, seramai 109 menyokong manakala 94 tidak menyokong dan 15 orang lagi tidak hadir ketika undian.

Terdahulu, Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri menggulung perbahasan di peringkat kementeriannya hari ini.

Menurutnya, kementerian sudah merangka Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan untuk memulihkan semula keyakinan orang awam untuk kembali merancakkan industri pelancongan.

Beliau berkata, komuniti pelancongan juga perlu bersedia untuk memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal Covid-19.

"Kementerian juga kini dalam usaha merancakkan semula pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan kreatif menerusi platform digital.

"Selain itu, pengusaha pelancongan juga diminta untuk meningkatkan standard kualiti perkhidmatan pelancongan seperti kebersihan, keselamatan selaras dengan SOP pengoperasian," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy berkata, kementerian juga sudah mula menerokai gelembung perjalanan dengan negara zon hijau menerusi kerjasama agensi kerajaan lain dan pemain industri.

Katanya, beberapa konsultasi sudah dijalankan dengan agensi berkaitan bagi mencari mekanisme terbaik yang boleh digunakan untuk aktiviti rentas sempadan.

"Kementerian mengkaji aktiviti pelancongan minat khas seperti ke pulau dan lawatan dalam kumpulan kecil yang mempunyai aturan aktiviti dengan diuruskan agensi pelancongan berlesen.

"Saya menyeru rakyat Malaysia untuk kembali merancakkan pelancongan domestik dengan menerokai destinasi menarik di dalam negara kerana masih banyak lagi lokasi, makanan dan budaya tempatan yang masih belum diterokai," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 2:39pm
d