mutakhir

Nelydia Senrose fail rayuan bayar ganti rugi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelakon Nelydia Senrose memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen, di sini, yang memerintahkannya membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd selepas syarikat kosmetik itu memenangi kes saman berkenaan, dua bulan lalu.

Chriszen Malaysia menyaman heroin filem Jebat itu berhubung dakwaan melanggar perjanjian sebagai duta jenama produk kecantikan Chriszen.

Rayuan berkenaan difailkan Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, di Mahkamah Tinggi, di sini, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah pada 13 Oktober lalu.

Pihak media memperoleh dokumen itu melalui carian sistem mahkamah, hari ini. Hari ini, juga ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail melalui prosiding dalam talian (e-Review) yang kemudiannya menetapkan 19 Januari tahun depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam memorandum rayuan difailkan pada 26 November lalu, Nelydia selaku perayu mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa perayu perlu membayar ganti rugi terhadap kos majlis responden (acara pelancaran produk Chriszen) meskipun syarikat itu sudah menerima notis dan mengetahui ketidaklapangan perayu menghadiri majlis pelancaran berkenaan.

Pelakon itu antara lain mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal memberikan pertimbangan yang wajar bahawa perayu sudah melaksanakan kewajipannya dalam perjanjian yang dimeterai antaranya dengan syarikat berkenaan.

Chriszen Malaysia selaku responden turut memfailkan rayuan balas semalam bagi menambah jumlah ganti rugi yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen.

Syarikat itu mendakwa hakim terbabit terkhilaf apabila memutuskan kos perkhidmatan (RM62,275) yang diberikan kepada syarikat berkenaan adalah bukan sepenuhnya seperti dituntut oleh responden, sedangkan perayu harus mengembalikan kesemua kos perkhidmatan (RM102,275) yang sudah dibayar kepadanya.

Syarikat itu antara lain mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila hanya memberikan ganti rugi khas RM16,869.03 dan ganti rugi am RM10,000 sedangkan responden memohon RM61,702 bagi kedua-dua ganti rugi berkenaan berikutan menanggung kerugian perbelanjaan bagi penyediaan acara dan kehilangan reputasi yang tidak dapat dipulihkan.

Pada 13 Oktober lalu, Shamsudin membenarkan tuntutan saman Chriszen Malaysia dan memerintahkan Nelydia membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada syarikat berkenaan.

Hakim itu dalam penghakimannya berkata, Nelydia tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama produk kecantikan itu dan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan.

Pada 7 Oktober 2019, Chriszen Malaysia menyaman Alfie Management dan Nelydia sebagai defendan pertama dan kedua. Namun, pada 13 Ogos 2019 penghakiman ingkar dimasukkan terhadap Alfie Management yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.

Dalam penyataan tuntutan, Chriszen Malaysia berkata, Nelydia yang membintangi drama 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' dilantik sebagai duta jenama Chriszen melalui satu perjanjian bertarikh 21 Disember 2018 dan berdasarkan perjanjian, kedua-dua defendan perlu mempromosikan produk syarikat termasuk membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial.

Syarikat kecantikan dan penjagaan kulit itu mendakwa pada Mac 2019, Nelydia bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media 'Match Matte Serum Foundation' yang berlangsung pada 25 April 2019, namun syarikat itu mendakwa pihaknya dimaklumkan bahawa Nelydia tidak akan menghadiri acara terbabit tanpa apa-apa penjelasan yang munasabah.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 3:39pm
d