mutakhir

Dulu jurutera, kini tauke daging burger

Oleh BERNAMA

Kuching: Daripada jurutera, kini tauke daging burger! Begitulah jejak usaha serta kejayaan Mohammad Fuad Syamsul Hassan, 43, anak kelahiran Bumi Kenyalang.

Meskipun berpendapatan lumayan sekitar RM18,000 sebulan sebagai jurutera Petronas, beliau sanggup meninggalkan jawatan itu untuk menggalas impian memiliki perniagaan sendiri.

Berbekalkan kesungguhan serta sokongan keluarga, perniagaan daging burger di bawah syarikatnya, USNA Homemade Burger, kini menjadi pembekal kepada kira-kira 300 gerai burger di seluruh Sarawak.

Segalanya bermula selepas kematian ayahnya, Hassan Hamdan pada 2007, yang mengakibatkan ibunya Usna@Zaleha Dawi, seorang pesara guru berasa agak kesunyian, lantas Mohammad Fuad mengesyorkan untuk mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

Menurutnya, pada tahun itu beliau mencadangkan kepada ibunya untuk berniaga daging kisar kurang lemak kerana melihat kepada potensi besar ketika itu dan pesaing tidak begitu banyak di bandar raya Kuching.

"Jadi saya mula membeli mesin pengisar kecil dan mencuba beberapa resipi untuk membuat daging burger sihat serta kurang lemak dan ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pelanggan antaranya daging burger kami terlampau kering. Bukan jadi daging burger, tapi dah macam daging goreng.

"Saya berguru sehingga ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) cawangan Kuching, untuk mendapatkan sukatan betul mengenai pecahan daging dan lemak,' katanya.

Mohammad Fuad mengambil masa selama empat tahun sehingga berjaya menghasilkan resipi daging burger dipasarkan sekarang.

Sepanjang tempoh itu, beliau masih bekerja sebagai jurutera dan hanya melakukan perniagaan itu secara separuh masa.

"Untuk permulaan, memang kami menghadapi pelbagai cabaran seperti kurang dikenali serta tidak banyak permintaan, namun pada 2014, perniagaan yang pada mulanya hanya dilakukan di rumah, beralih ke sebuah kilang.

"Keluarga terdekat seperti abang dan adik saya turut sama terbabit dalam perniagaan ini.

"Akhirnya pada 2017, saya nekad untuk meninggalkan kerjaya sebagai jurutera walaupun gaji pada waktu itu mencecah RM18,000 sebulan, demi memberikan sepenuh perhatian kepada perniagaan USNA Homemade Burger ini," katanya.

Beliau berkata, cabaran selepas membuka kilang sangat berbeza kerana beliau perlu mendapat sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.

Menurutnya, dia dan ibunya selalu berbincang mengenai kualiti makanan dan bagi mempromosikan produk makanan berkhasiat dan bermutu tinggi itu, ia memerlukan pengesahan dan sebab itu mereka berusaha mendapatkan sjil berkenaan.

Secara purata, USNA Homemade Burger menggunakan 3,200 kilogram daging mentah sebulan dan mengeluarkan 8,000 paket daging burger bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.

Sehingga kini, perniagaan ini mempunyai lima orang pekerja, tidak termasuk ahli keluarga Mohammad Fuad dan ejen berdaftar di seluruh Sarawak.

USNA Homemade Burger mempunyai pelbagai variasi produk iaitu daging lembu burger premium 60 gram (10 keping), 80g (8 keping), 100g (5 keping) dan 120g (5 keping) yang masing-masing dijual dengan harga, RM18.30, RM19.50, RM15.50 dan RM18.50.

Di samping itu, terdapat daging kambing burger 70g (4 keping) berharga RM18.50; daging ayam burger 60g (10 keping) berharga RM13.00 dan 80g (8 keping) berharga RM14.00 serta kebab meatball 600g yang berharga RM21.50.

Mohammad Fuad, mereka yang berminat untuk mendapatkan produk berkenaan, boleh layari laman Facebook dengan carian USNA Homemade Burger.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 4:06pm
d