mutakhir

Padah tengking polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Empat lelaki ditahan polis kerana enggan memberi kerjasama ketika pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di Jalan Harapan Sea Park, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan jam 11.45 malam.

"Ketika rondaan dilakukan, anggota bertugas terserempak dengan empat lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 46 tahun sedang lepak dan membuat bunyi bising menerusi ekzos motosikal mereka.

"Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap mereka, datang seorang lagi lelaki dipercayai rakan empat lelaki berkenaan yang menaiki motosikal berkuasa tinggi dan turut membuat bunyi bising menerusi ekzos motosikalnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, anggota bertugas kemudian meminta lima lelaki berkenaan menyerahkan kad pengenalan untuk pemeriksaan.

"Namun, seorang daripada mereka tidak berpuas hati dan mempersoalkan tindakan anggota polis selain menengking anggota bertugas.

"Susulan itu, kami menahan lima suspek terbabit, namun seorang daripada mereka sempat melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada empat suspek yang ditahan mempunyai empat rekod kes dadah serta satu kes jenayah.

"Empat suspek berkenaan direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

"Kami sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian itu. Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan tugas," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 5:06pm
d