mutakhir

Waqaf An-Nur santuni 70 gelandangan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) menerusi Pasukan Briged Waqaf menyantuni 70 gelandangan di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Pengurus Besar Waqaf An-Nur, Mohd Bahrin Bakri berkata, program Jalinan Ukhuwah-Sahabat Jalanan yang julung kali diadakan itu bukan sahaja membekalkan pek makanan dan pelitup muka, malah pihaknya turut mengadakan 'street dakwah'.

Katanya, dalam situasi semasa ketika masih melawan penularan Covid-19, Waqaf An-Nur merasakan gelandangan bukan hanya perlu bantuan bekalan makanan, tetapi pelitup muka supaya tidak terdedah dengan jangkitan wabak itu.

"Golongan gelandangan diberikan perkongsian ilmu lebih santai dan ringkas supaya mereka lebih dekat dengan masyarakat dan tidak berasa terasing terutama keluarga mereka.

"Program ini dijangka diadakan sepanjang tahun dan kami menggalakkan mana-mana individu, syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam program ini," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 5:52pm
d