mutakhir

Derma RM10 bantu jayakan Wakaf Air

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Rakyat Malaysia diminta menyahut seruan kerajaan supaya menghulurkan sumbangan sekurang-kurangnya RM10 bagi menjayakan projek Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Wakaf Air antara usaha kerajaan untuk membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutama di luar bandar dan ketika berlaku krisis air.

Beliau berkata, jika rakyat Malaysia bersama-sama menyahut seruan berkenaan dengan hanya RM10 sahaja, usaha berkenaan bakal memperoleh dana besar.

"Bayangkan jika penjawat awam seramai 1.6 juta membuat potongan gaji secara tetap setiap bulan sebanyak RM10, kita akan dapat mengumpul dana wakaf sebanyak RM16 juta sebulan.

"Dalam masa setahun RM192 juta dana wakaf dapat dikumpulkan dan dalam masa lima tahun, jumlah kumulatif dana wakaf akan mencapai RM960 juta.

"Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk diperoleh dan tidaklah memberatkan kerana hanya dengan memberikan sumbangan sekecil RM10 sahaja sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Waqf Advancement Webinar 2020 secara maya anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Pada Ogos lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, model tadbir urus Wakaf Air bertujuan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat, kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Beliau dilaporkan berkata, ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup ditetapkan dan pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih RM50,000.

Ia termasuk penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun musim kemarau.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berharap masyarakat awam dapat menerima baik konsep Tabung Wakaf Air Nasional yang dilihat dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 6:12pm
d