mutakhir

Bina 105 menara komunikasi di pedalaman Kedah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kuala Muda: Sebanyak 105 menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan pedalaman di negeri sehingga 2022 bagi membolehkan penduduk mendapat akses Internet lebih baik.

Langkah itu diambil selepas penduduk di 270 kawasan pedalaman di negeri ini terutama Padang Terap, Baling, Sik dan beberapa kawasan di Kuala Muda didapati sukar mendapat talian Internet.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, sebanyak 10 menara telekomunikasi dijangka disiapkan sehingga akhir tahun ini.

"Sementara, 14 lagi dijangka siap dalam tempoh tiga bulan pertama 2021.

"Menara telekomunikasi tetap ini akan dibina Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah rancangan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) secara berperingkat dalam tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat menara telekomunikasi sementara di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SKMM Kedah, Azhar Abdul Rahman.

September lalu tular di media sosial penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Kampung Kongsi 14 mengambil pelbagai inisiatif membina 'menara' telekomunikasi mereka sendiri bagi mendapatkan akses Internet.

Kawasan estet kelapa sawit berkenaan terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sungai Petani didiami kira-kira 180 orang penduduk.

Sementara itu, Wan Romani berkata, tindakan segera dilakukan di kawasan itu dengan pembinaan menara telekomunikasi sementara oleh SKMM Kedah bersama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama bagi memberi liputan rangkaian 3G dan 4G yang aktif pada Jumaat lalu.

"Ini adalah kali pertama penggunaan teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai 'Multi Operator Core Network' (MOCN) digabungkan di Semenanjung Malaysia membabitkan empat syarikat terbabit," katanya.

Dalam pada itu, penduduk V Barathi Dhasa, 26, berkata, penduduk tidak perlu lagi memanjat tempat tinggi atau menggunakan tiang, baldi dan tali yang diikat lebih tinggi untuk mendapat akses Internet.

"Pelajar di kawasan ini juga lebih mudah untuk menyiapkan tugasan yang diberikan guru secara dalam talian selain penduduk tidak lagi ketinggalan menerima laporan terkini mengenai pandemik Covid-19,"katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 6:29pm
d