mutakhir

KKM kesan 2 lagi kluster baharu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan dua lagi kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kluster itu sudah mencatatkan 123 kes positif Covid-19 setakat 12 tengah hari ini.

"Kluster Seruling yang membabitkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling di Selangor. Kes dalam kluster ini dilaporkan positif bermula 4 Disember lalu hasil saringan di tempat kerja.

"Sejumlah 2,267 individu sudah disaring yang mana 109 kes dikesan positif Covid-19 setakat ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Kluster Tapak Bina Darul pula membabitkan daerah Titiwangsa, Cheras dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur; Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang di Selangor serta Seremban di Negeri Sembilan.

Katanya, kes dalam kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 6 Disember hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan tapak pembinaan.

"Sejumlah 240 individu disaring, yang mana 14 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya.

Selain itu, katanya, terdapat sebanyak 392 kluster dilaporkan dengan 207 kluster diisytihar tamat termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Melati, Kluster Kempas, Kluster Titir dan Kluster Tempayan.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau KKM adalah sebanyak 185 kluster. Daripada jumlah itu, 41 kluster melaporkan pertambahan kes dan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (78 kes), Kluster Batu Tujuh (52 kes) dan Kluster Ria-30 (33 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 6:49pm
    d