mutakhir

Sabah mahu ikut Sarawak meterai perjanjian dengan Petronas

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah akan mengambil langkah sama dibuat Sarawak untuk menuntut hak terhadap minyak dan gas yang dikeluarkan di negeri ini memandangkan kedua-dua negeri di Borneo itu mempunyai hak sama.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kejayaan Sarawak menerusi syarikat milik kerajaan negeri itu memeterai perjanjian dengan Petronas, semalam perlu dicapai di Sabah.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Sabah menandatangani perjanjian sama dengan Petronas.

"Tahniah kepada kerajaan Sarawak dalam usahanya menuntut hak negeri mereka. Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan Sarawak melakukan semua perkara sukar dalam perjuangan ini dan kita berterima kasih atas usaha mereka.

"Bagi Sabah pula, kerajaan negeri akan membuat susulan berhubung perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya supaya kita boleh menandatangani perjanjian sama dengan Petronas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejayaan kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian komersial dengan Petronas, semalam.

Perjanjian itu membolehkan kerajaan Sarawak menerusi anak syarikatnya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), memainkan peranan yang besar dalam industri minyak dan gas dengan kerjasama Petronas.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, perjanjian itu menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan komitmen dan ikhlas memulangkan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, perjanjian itu dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi di Sabah dan mempercepatkan industrilisasi di luar bandar yang ketika ini sangat jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung.

"Apa yang lebih penting, perjanjian itu dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara Kerajaan persekutuan dan negeri, melaksanakan komitmen persekutuan yang belum tertunai dan memastikan sokongan berterusan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan bersikap tunggu dan lihat seperti dilakukan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menuntut MA63 sebelum ini.

"Kita akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak dalam usaha untuk memastikan semua hak di bawah MA63 dipenuhi dan membetulkan semua pelanggaran yang berlarutan selama beberapa dekad," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 7:29pm
d