mutakhir

1 lagi laporan cabul pengamal perubatan alternatif

Oleh Zaid Salim

Kuala Berang: Polis menerima satu lagi laporan berkaitan kes cabul membabitkan lelaki yang kini direman kerana kesalahan sama, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang jurujual wanita berusia 25 tahun pada 1.15 tengah hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa menjadi mangsa cabul suspek berusia 52 tahun itu ketika mendapatkan rawatan perubatan alternatif pada September 2018.

"Kejadian itu dikatakan berlaku ketika mangsa bersama adik perempuannya yang ketika itu masing-masing berusia 23 dan 20 tahun berjumpa suspek untuk mendapatkan rawatan di bandar ini.

"Ketika rawatan, suspek memberitahu mangsa dan adiknya terkena buatan orang sebelum lelaki itu melakukan rawatan terhadap mereka.

"Ketika melakukan rawatan, mangsa mendakwa suspek memeluk dan mencabulnya.

"Perbuatan itu turut dilakukan kepada adik mangsa pada hari yang sama," katanya.

Menurutnya, musykil dengan kaedah rawatan dan status lelaki terbabit, mangsa bersama adiknya dengan ditemani ibu ke pusat rawatan berkenaan di Cawangan Kampung Butut di sini, bagi memastikan sama ada suspek benar bekerja di situ atau tidak.

Katanya, selepas dimaklumkan lelaki terbabit memang benar adalah ahli perubatan di situ, mangsa bersama ibu dan adiknya pulang semula ke rumah tanpa memikirkan sesuatu yang pelik dengan kaedah rawatan dilakukan suspek.

"Mangsa mula mencurigai kaedah rawatan suspek selepas membaca berita berkaitan kes wanita dicabul lelaki berkenaan ketika mendapatkan rawat perubatan alternatif pada 1 tengah hari semalam.

"Berikutan laporan itu, mangsa teringat kejadian yang berlaku pada dirinya sebelum ke balai polis untuk membuat laporan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Kesiksaan kerana cabul," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 8:23pm
d