mutakhir

5 syarikat telekomunikasi dikompaun RM750,000

Oleh Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 kepada lima syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

"Tindakan ini diambil berdasarkan kepada audit yang dijalankan di Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi tempoh antara Ogos hingga Oktober tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM berkata, jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun ini adalah sebanyak 70 kompaun berjumlah RM3.45 juta iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus, berbanding 58 kompaun berjumlah RM2.9 juta bagi kesalahan yang sama, tahun lalu.

Katanya, semua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Digi Telecommunications Sdn Bhd menerima kompaun tertinggi dengan lima kompaun bernilai RM250,000, diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

"U Mobile Sdn Bhd menerima tiga kompaun bernilai RM150,000, manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing ditawarkan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

"Tindakan yang diambil ini menunjukkan usaha tegas yang berterusan oleh pihak kami dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes penipuan atau scam secara dalam talian yang semakin meningkat," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 10:13am
d