mutakhir

PAS belum terima titah menghadap Sultan Nazrin

Oleh BERNAMA

Ipoh: PAS Perak belum menerima secara rasmi titah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata pihaknya akan menghadap Sultan Nazrin apabila dititahkan secara rasmi berbuat demikian.

"Setakat ini kami (PAS Perak) belum terima lagi secara rasmi titah menghadap tuanku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengarahkan semua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perak supaya hadir menghadap selepas menerima titah rasmi daripada Sultan Nazrin.

Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS adalah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Semalam, Razman berkata pihaknya membatalkan majlis menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini yang dijadual pada 3 petang atas arahan pucuk pimpinan parti.

Selain PAS, Bersatu juga tidak menghadap Sultan Nazrin semalam dan menurut Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pihaknya belum menerima titah secara rasmi untuk menghadap Sultan Perak.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada ADUN Bersatu dan PAS negeri untuk menghadap baginda berhubung kemelut politik negeri.

Mohd Annuar dilaporkan berkata, istana menunggu wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Kemelut politik Perak tercetus selepas Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali dan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehari selepas itu.

Setakat ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad; pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menghadap Sultan Nazrin.

Berita berkaitan

  • 'Saya dipanggil seorang sahaja menghadap Tuanku'- Adun Titi Serong
  • Hak Sultan Nazrin umumkan Menteri Besar Perak - Zahid
  • DAP sedia jalin kerjasama dengan Umno di Perak
  • Kerajaan PN di Perak perlu dipertahankan [METROTV]
  • SD 26 Adun sokong Saarani jadi MB
  • Sultan Perak perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal
  • Kerajaan PN Perak mesti dikekalkan - Umno
  • Ahmad Faizal berharap PN Perak tidak berpecah-belah
  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?
  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi
  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu
  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'
  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN
  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah
  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 10:59am
    d