Ipoh: Buat pertama kali dalam sejarah, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang tanpa Menteri Besar Perak.
Ia susulan kegagalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadap kepemimpinannya, Jumaat lalu.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, persidangan hari ini akan berlangsung seperti yang diputuskan sebelumnya.
"Mesyuarat akan bermula pada 2.30 petang hari ini sepertimana yang sudah diputuskan dan dijadualkan sebelum ini.
"Akan tetapi persidangan hari ini hanya akan mempersetujui usul persidangan DUN yang akan ditangguhkan ke tarikh lain," katanya.
Media sebelum ini melaporkan persidangan tidak dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik.
Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN Perak sepatutnya berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu dengan pembentangan Belanjawan 2021 sebelum bersambung semula pada semalam hingga Jumaat ini.
Keputusan pengundian menyaksikan Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi menyokong, berbanding 48 undi terdiri daripada 24 wakil BN daripada UMNO dan 24 wakil Pakatan Harapan (PH) menolak, dan satu berkecuali.
Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang, kemudiannya mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Berita berkaitan