mutakhir

Melaka tak iktiraf pemegang UEC bekerja di sektor awam

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Kerajaan negeri tidak mengiktiraf pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk berkhidmat dalam sektor awam di negeri ini sejajar dengan surat pekeliling kerajaan yang tidak pernah diubah walaupun bertukar kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini hanya menggunakan khidmat seorang lepasan sijil UEC untuk menerajui sebuah agensi di negeri ini, namun ia tidak pernah diwartakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Kerajaan negeri melalui bahagian Pusat Sumber Manusia tidak mengiktiraf sijil UEC memandangkan kerajaan tak pernah mengubah pekeliling sedia ada yang berkaitan dengan syarat kemasukan sebagai penjawat awam.

"Apa yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari), memaklumkan bahawa kita membuka peluang untuk menerima mereka yang mempunyai sijil UEC berkhidmat di Melaka, tetapi dia tidak pernah dibawa ke mesyuarat MMKN, maknanya ia hanya diisytihar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos 2018 tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan PH Melaka pimpinan Adly dilaporkan berkata, pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan di negeri itu sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri, seiring sebahagian manifesto pakatan itu pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, sejak 2018 sehingga kini, hanya seorang pemegang sijil UEC diterima berkhidmat sebagai penjawat awam negeri.

"Sejak 2018 hingga hari ini, hanya seorang iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Lim Kwok Thuan, yang memiliki sijil UEC diterima berkhidmat sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 1 April lalu," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 2:04pm
d