mutakhir

Tasik Kenyir meriah pada musim tengkujuh

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Berang: Tasik Kenyir di sini, akan menjadi destinasi pelancongan terutama kepada kaki pancing setiap kali musim tengkujuh bermula Oktober hingga Januari setiap tahun.

Jadi, tidak hairanlah jumlah kehadiran pelancong ke sini, meningkat 100 peratus bagi menjinakkan ikan air tawar termasuk toman, lampam, baung, patin dan belida.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, seramai 40,000 pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir bermula Oktober lalu berbanding 10,000 pada 2019.

Menurutnya, peningkatan kehadiran pelancong ini dapat menjana pendapatan industri pelancongan hiliran.

"Tempahan bot dan rumah rakit meningkat berikutan aktiviti memancing ikan pindah, justeru ia membuka mata kami untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Tasik Kenyir," katanya.

Menurutnya, Ketengah tidak pernah menutup dan menghentikan aktiviti di Tasik Kenyir pada musim tengkujuh seperti yang difahami masyarakat secara umum.

"Hanya Santuari Kelah sahaja ditutup bermula Oktober hingga akhir Februari depan, sementara aktiviti lain beroperasi seperti biasa termasuk aktiviti memancing dan bermalam di rumah rakit.

"Kami sudah berbincang untuk tidak menggunakan lagi istilah penutupan Tasik Kenyir pada musim tengkujuh pada masa akan datang sebaliknya Tasik Kenyir akan dikenali sebagai lokasi pelancongan yang dibuka sepanjang tahun," katanya.

Katanya, mulai tahun depan Ketengah dan Jabatan Perikanan Malaysia akan bekerjasama untuk melepaskan sejuta anak ikan pelbagai jenis bagi merancakkan lagi aktiviti memancing di Tasik Kenyir.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 2:22pm
d