mutakhir

KPLB, JKRN kerjasama baik pulih cerun di Jerantut

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang (JKRN) bagi membaik pulih cerun runtuh di Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, Jerantut Pahang.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kementeriannya telah mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM38.9 juta bagi membaik pulih cerun runtuh berkenaan.

Menurutnya, kerja pembaikan dijangka akan bermula tahun depan tertakluk kepada kelulusan dan peruntukan kerajaan.

"Jalan itu membabitkan jajaran di Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling dan menjadi sebahagian daripada enam fasa projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB).

"Projek itu dilaksanakan di bawah KPLB dan menelan kos hampirRM1.1 billion," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Abdul Latiff menjelaskan, jalan sepanjang 107 kilometer (km) itu menghubungkan Kuala Tahan, Jerantut Pahang sehingga ke Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun Terengganu.

Katanya, pada masa ini dua fasa projek itu siap sepenuhnya iaitu fasa pertama pada 26 Oktober 2015 dan fasa kedua pada 30 Jun 2018.

"Kedua-dua fasa jalan itu telah menerima Certificate of Practical Completion (CPC) dan Certificate of Making Good Defects (CMGD) yang dikeluarkan masing-masing pada tahun 2017 dan 2018."

"Bagaimanapun, kejadian cerun runtuh yang berlaku itu adalah ketika proses rundingan untuk pewartaan sebelum diserahkan kepada JKRN Pahang," katanya

From: Samadi

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 3:39pm
d