mutakhir

Covid-19: 959 kes baharu, lima kematian hari ini [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara hari ini mencatatkan 959 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 76,265 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 10,748 kes.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,068 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 65,124 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 953 kes.

"Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 277 kes diikuti Sabah (203 kes) dan Kuala Lumpur (129 kes). Manakala 27 kes berkaitan kluster di penjara iaitu Kluster Tembok (23 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (empat kes)," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 393 kes atau 0.52 peratus.

"Kes kematian ke-389 (kes ke-39,066) membabitkan lelaki berusia 75 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit gout dan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Kes kematian ke-390 (kes ke-62,272) juga lelaki berusia 61 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Dua kematian di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang membabitkan lelaki berusia 60 dan 68 tahun.

"Kes kematian ke-393 (kes ke-65,911) membabitkan lelaki berusia 82 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat 127 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 6:31pm
    d