mutakhir

'Anak sering tanya mana abah'

Oleh BERNAMA

Pekan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan mengurniakan sumbangan kepada waris dua kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

Al-Sultan Abdullah mengurniakan sumbangan itu menerusi pegawai khas Sultan Pahang Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan) Sultan Pahang Datuk Abdul Rahman Endut yang berkunjung ke rumah ahli keluarga mangsa di sini, hari ini.

Ahmad Nurbadelin ketika menyerahkan sumbangan itu, turut menyampaikan salam dan ucapan takziah Seri Paduka, yang turut menasihatkan ahli keluarga supaya terus bersabar dan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

Isteri kepada pemandu JKNP Mohd Zuhairi Abdullah, Nor Hayati Embong, 35, berkata, dia amat terharu dan menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap nasibnya dan empat anak berusia antara sembilan hingga dua tahun.

"Tumpuan saya kini adalah membesarkan anak dan memohon semua mendoakan supaya saya diberikan kesihatan yang baik demi anak-anak. Saya berhasrat pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu dalam masa terdekat.

"Ada masanya anak bongsu bertanya di mana abah terutamanya pada waktu malam. Mungkin dia masih belum faham abahnya sudah tiada," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini.

Sementara itu, suami kepada jururawat Julayha Kudus, Asmawi Yusoff, 45, berkata, walaupun reda dengan pemergian ibu kepada empat orang anaknya, dia masih tidak mampu untuk membayangkan kehidupan yang akan dilalui mereka selepas ini.

"Saya sedar, sebanyak mana kasih sayang saya kepada isteri, Allah lebih menyayanginya dan menjemputnya kembali semasa dia sedang bertugas dan dalam perjalanan yang bertujuan baik.

"Saya menjunjung kasih kepada Seri Paduka berdua dan akan menjaga anak sebaiknya. Mereka adalah harta dunia akhirat kami," katanya.

Pada Isnin lalu, Mohd Zuhairi, 35, dan Julayha, 39, maut selepas kenderaan Toyota Hilux dinaiki mereka dirempuh lori tangki yang terbabas dari laluan bertentangan di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin berhampiran Tanjung Batu di sini, menyebabkan kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia itu remuk keseluruhan pada bahagian hadapan.

Seorang lagi mangsa yang turut terbabit dalam kemalangan itu ialah Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29 yang parah di kepala dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Semasa kejadian, kesemua mangsa yang berkhidmat di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Api Larat di sini, bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala.

Berita berkaitan

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada petugas PKD Pekan

WhatsApp tak berbalas, rupa-rupanya suami maut kemalangan

Maut ketika dalam perjalanan melaksanakan tugas rutin

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 7:21pm
d