mutakhir

Barangan tiruan RM1.8 juta dirampas di Jalan Kenanga

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di premis pakaian di Jalan Kenanga di sini, hari ini, membawa kepada penemuan lebih 40,000 unit barangan tiruan dengan nilai sitaan melebihi RM1.8 juta.

Operasi bermula jam 10 pagi itu menemui sebahagian barangan terdiri daripada baju dan seluar menggunakan cap dagangan palsu jenama terkenal disimpan di stor di tingkat atas premis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP WPKL, Zubir Hamsa berkata, siasatan mendapati pemilik premis mempamerkan hanya beberapa helai barangan tiruan di kedai susulan memberi tumpuan kepada penjualan secara dalam talian.

Menurutnya, siasatan lanjut sewaktu operasi juga mendapati dua lagi premis bersebelahannya turut dimiliki pemilik sama sebelum beberapa lagi stor simpanan diperiksa.

"Hasil risikan selama dua minggu termasuk menerusi cubaan kita membeli sendiri daripada penjual barangan tiruan membawa kepada serbuan bersama wakil pemilik cap dagang hari ini yang mana pada awalnya kami menyangka cuma satu premis dan kira-kira lima stor simpanan saja terbabit.

"Bagaimanapun, dua lagi premis turut dikenal pasti dimiliki pemilik sama. Dia menggunakan tingkat atas setiap premis sebagai stor simpanan.

"Walaupun pada awal serbuan, pemilik banyak berdolak-dalih dengan mengatakan dia hanyalah pekerja, mengunci mulut mengenai dua lagi premis serta stor simpanan. Kita berjaya mengesan malah menjumpai lebih banyak barangan tiruan di stor seterusnya," katanya.

Zubir berkata, secara keseluruhan sebanyak 10 stor dan tiga premis dikesan memiliki barang tiruan itu yang dipercayai untuk jualan runcit dan borong di seluruh Malaysia.

Nilai sitaan kata beliau adalah yang terbesar direkodkan untuk tahun ini.

"Siasatan mendapati pemilik premis yang menguruskan perniagaan adalah warga asing namun berkongsi perniagaan dengan warga tempatan. Kedua-dua pemilik premis ditahan untuk siasatan.

"Seramai enam pekerja ditahan untuk siasatan namun dua lagi pekerja yang berada di stor simpanan sempat melompat dari tingkat satu ke aras bawah dan melarikan diri ketika kita cuba memasuki stor tadi dengan dokumen pengenalan diri yang ditemui mendapati mereka warga asing," katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM15,000 bagi pertubuhan untuk setiap barang dagangan palsu jika disabit kesalahan selain RM30,000 untuk kesalahan kedua atau seterusnya.

"Manakala jika disabit kesalahan membabitkan bukan pertubuhan akan didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang dagangan palsu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 10:33pm
d