mutakhir

Indeks jenayah Langkawi menurun

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Indeks jenayah di sini menurun 19 peratus bagi Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perangkaan itu membabitkan jenayah keganasan dan jenayah harta benda.

Katanya, sebanyak 299 kes direkodkan pada awal tahun sehingga November lalu berbanding 370 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak 71 kes.

"Bagi kes curi motosikal, berlaku penurunan sebanyak 17 kes apabila mencatat 79 kes sepanjang 11 bulan tahun ini, berbanding 96 kes tempoh sama tahun lalu.

"Kadar pertuduhan pula meningkat sebanyak 72.73 peratus, berbanding 45.45 peratus tahun lalu," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Disember Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, usaha pencegahan jenayah bukan setakat menagih komitmen anggota semata-mata tetapi memerlukan sokongan serta kesedaran masyarakat setempat.

Pada majlis sama, tujuh orang awam dan pengamal media menerima sijil penghargaan atas kerjasama membanteras jenayah dan liputan program sepanjang tahun lalu.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 1:00pm
d