mutakhir

Industri jualan langsung di Malaysia diunjur cecah RM20 bilion akhir tahun ini

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Industri jualan langsung di Malaysia diunjurkan mencecah RM20 bilion menjelang akhir tahun ini, dengan nilai jualannya sudah mencatat RM17.8 bilion sehingga September lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, nilai jualan itu mampu dicapai walaupun negara kini berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

Menurut beliau, di Malaysia, sektor jualan langsung mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan hingga berkembang menjadi industri besar yang menyumbang kepada ekonomi domestik.

"Ini diyakini berupaya membantu usaha kerajaan, khususnya KPDNHEP, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik susulan penularan Covid-19.

"Keyakinan itu bersandarkan prestasi positif, terutama nilai jualan dicatatkan sektor berkenaan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula pada 2018 (RM15.9 bilion) dan 2019 (RM17 bilion)," katanya pada kenyataan hari ini.

Alexander berkata, prestasi itu meletakkan Malaysia pada kedudukan ketujuh di peringkat global dan keempat di Asia Pasifik daripada segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2019 - Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA).

"KPDNHEP cukup berbangga dengan pencapaian ini malah komited dalam menyokong pertumbuhan sektor berkenaan dengan mengadaptasi perubahan trend perniagaan dan perdagangan norma baharu di negara ini.

"Keutamaan KPDNHEP untuk membantu mempermudahkan aktiviti perniagaan di negara ini sekali gus memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan secara lebih cekap dan efisyen," katanya.

Tambah Alexander, antara inisiatif yang diambil termasuk memudahkan proses memperbaharui Lesen Jualan Langsung tanpa mengetepikan aspek pematuhan syarat dan peraturan termaktub bawah Akta Jualan Langsung.

"KPDNHEP turut memudahkan permohonan kebenaran untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan bagi tujuan promosi, dengan pemain industri (syarikat) kini hanya perlu memaklumkan kepada kementerian sebelum kempen mereka bermula.

"Ia secara tidak langsung membuktikan keyakinan dan kepercayaan kerajaan kita bahawa pemain industri sentiasa mematuhi syarat, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, pihaknya turut mengambil maklum beberapa perkara berbangkit termasuk cadangan pindaan Akta Jualan Langsung dan Akta Skim Piramid 1993, selain isu penjualan produk jualan langsung secara tidak sah dalam talian.

"Hal ini sedang diperhalusi di peringkat kementerian, yang turut membabitkan kerjasama pemain industri jualan langsung dan penyedia perkhidmatan e-dagang bagi mencari solusi terbaik berhubung perkara itu," katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, kementeriannya turut memperjuangkan insentif percukaian bagi kesemua sektor dan industri bawah seliaannya.

"Jika diteliti, insentif percukaian tersedia untuk mana-mana syarikat yang mengadaptasikan Revolusi Industri 4.0, teknologi pendigitalan dan transformasi teknologi bagi perkhidmatan berkaitan.

"KPDNHEP sedang memformulasikan Pelan Industri Jualan Langsung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), khusus bagi merangka hala tuju strategik industri itu ke arah menyumbang kepada pemerkasaan sosio-ekonomi negara.

"Ia seiring dengan keupayaan industri jualan langsung menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat," katanya.

tamat

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 3:46pm
d