mutakhir

Jalan mendap bahayakan pengguna ke Cameron Highlands

Oleh Mohd Rafi Mamat

Lipis: Pengguna Jalan Pos Betau-Cameron Highlands dekat sini, bimbang berhadapan kecelakaan berikutan tanah runtuh dan mendapan di kawasan itu.

Mereka mendakwa sekurang-kurangnya ada enam tempat berlaku mendapan dan tanah runtuh di laluan berkenaan.

Seorang daripada pengguna jalan, Badrul Hisham Ramly, 51, berkata, kerosakan jalan itu semakin banyak ketika musim tengkujuh dengan hujan yang berterusan.

Katanya, mendapan yang paling teruk di Kilometer 48 yang menyebabkan pihak berkuasa membuat lencongan demi keselamatan pengguna jalan, malah banyak papan tanda amaran diletak sebagai peringatan.

"Pemandu perlu sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan ini terutama pada waktu malam. Setakat ini langkah keselamatan diambil pihak berwajib amat memuaskan," katanya ketika ditemui di sini.

Laluan itu menjadi jalan utama penduduk di pantai timur, tengah dan selatan ke pusat peranginan tanah tinggi.

Dalam pada itu, seorang pelancong tempatan dikenali Osman berkata, bentuk muka bumi berbukit di sepanjang laluan berkenaan menjadi antara faktor mudah berlaku tanah runtuh apabila cuaca buruk.

"Setiap kali musim hujan, kejadian tanah runtuh mudah berlaku hingga menyebabkan jalan mendap dan membahayakan pengguna.

"Bagaimanapun, saya memuji tindakan segera yang diambil pihak berwajib untuk membaiki kerosakan jalan, selain menyediakan banyak papan tanda amaran," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 5:13pm
d