mutakhir

Jumlah pelancong ke Melaka dijangka meningkat

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Jumlah pelancong ke Melaka dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini susulan kebenaran rentas daerah dan negeri sejak Isnin lalu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkata banyak hotel, inap desa dan chalet di negeri ini mula menerima tempahan berganda berbanding beberapa minggu sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi agensi pelancongan merangka beberapa usaha serta strategi bagi melonjakkan semula hasil negeri menerusi sektor pelancongan.

"Antara usaha terbabit menyediakan inisiatif melanjutkan diskaun 50 peratus di 18 lokasi pelancongan kepada petugas barisan hadapan sehingga Jun tahun depan, berbanding perancangan sebelum ini iaitu akhir bulan ini," katanya pada sidang media sempena Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.

Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri juga komited memberi nafas baharu dengan menyelenggara dan membaik pulih semua bangunan warisan di negeri Hang Tuah itu.

Katanya, ia sebagai langkah memastikan semua 786 produk pelancongan di Melaka terpelihara, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan G Saminathan (DAP-Gadek) mengenai pelaksanaan projek Kolam Air Panas Gadek, Alor Gajah, di sini, beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sudah meluluskan peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjumlah RM17.9 juta bagi projek berkenaan.

Katanya, buat masa ini, projek terbabit masih dalam proses reka bentuk oleh perunding yang dilantik dan dijangka ditender pada awal tahun depan, sebelum dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

"Apabila siap kelak, kita akan mempromosikan kolam berkenaan dalam semua bahan promosi kerajaan negeri , selain menerusi media sosial seperti Facebook Tourism Melaka, Instagram Fabulous Melaka, Youtube dan Twitter Tourism Melaka termasuk melalui platform Melaka eXcess.

"Kerajaan negeri turut mengadakan program promosi pelancongan dalam negara seperti Program Seminar Produk Pelancongan negeri dan Sesi Padanan Niaga bersama penggiat industri pelancongan bersama ejen pelancongan kembara daripada luar Melaka.

"Pada masa sama, kita turut mengatur Program Familiarization Trip (Fam-Tip) bersama ejen pelancongan kembara, media, blogger dan instafamous bagi mempromosikan produk pelancongan seluruh negeri," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 5:37pm
d