mutakhir

LPT2 sumbang 2 EMPV kepada PDRM

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua buah kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) jenis Mitsubishi Outlander sumbangan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2).

Pengarah LPT2 Zakaria Ahmad Zabidi berkata, penyerahan itu adalah inisiatif pihaknya untuk membantu PDRM menjalankan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan dan rondaan sekali gus dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna di lebuh raya.

Menurutnya, LPT2 pernah menyumbang dua buah EMPV jenis Mitsubishi GT Lancer pada 2017 untuk rondaan polis di lebuh raya berkenaan membabitkan jarak sejauh 184 kilometer bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu.

"Kebenaran perjalanan rentas negeri bermula 7 Disember lalu mungkin akan menyebabkan peningkatan aliran trafik pada bulan ini dan ia antara persediaan diambil bagi membantu pelanggan bergerak dengan selamat, selesa dan lebih mudah termasuk kolaborasi bersama PDRM.

"Kolaborasi bersama PDRM menerusi Unit Pemantauan Lebuhraya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menyaksikan kadar kemalangan di LPT2 menurun sebanyak 31 peratus antara 2016 hingga 2019.

"Dengan kehadiran 60 anggota ronda LPT2 termasuk lapan anggota EMPV PDRM, ia dilihat juga mampu membantu menjaga pelanggan di lebuh raya itu sepanjang perjalanan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Zakaria menyerahkan EMPV itu kepada Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawasan Lalulintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit

Aman, Datuk Mohd Nazri Hussain hari ini.

Sementara itu, Mohd Nazri berterima kasih di atas sumbangan kali kedua LPT2 yang dilihat mampu membantu pihaknya memantau perjalanan pengguna lebuh raya dan menguatkuasakan undang-undang.

"PDRM dan LPT2 akan terus bekerjasama dalam memastikan aspek keselamatan serta sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran kesalahan lalu lintas dapat dikurangkan supaya pengguna berasa selamat ketika menggunakan lebuh raya berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 8:54pm
d