mutakhir

53 pegawai dan anggota polis Kelantan dikenakan tindakan tatatertib

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 53 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan setakat Disember ini, kata Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima kes membabitkan kesalahan yang dilakukan pegawai kanan manakala selebihnya adalah anggota lain-lain pangkat.

"Mana-mana pegawai atau anggota polis yang terbabit dalam apa jua salah laku seperti jenayah atau integriti tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, PDRM tidak akan sesekali berkompromi dalam isu kesalahan tatatertib dan antara kesalahan yang dilakukan termasuklah jenayah (11 kes), dadah (sembilan), rasuah (tujuh), tidak hadir tugas (dua), kahwin tanpa kebenaran ketua jabatan (empat) dan selebihnya pelbagai kesalahan lain.

Katanya, daripada 53 kes yang dilaporkan itu, 14 daripadanya sudah dikenakan tindakan.

Menjelas lanjut, Shafien berkata, antara tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap anggota dan pegawai termasuklah buang kerja, turun pangkat, potong gaji, denda, amaran dan surat teguran.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 11:26am
d