mutakhir

Tingkatkan usaha banteras pembalakan haram [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) perlu meningkatkan penguatkuasaan membendung kegiatan pembalakan haram di negeri ini terutamanya di kawasan pedalaman, tebing sungai yang terpencil serta kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keupayaan JHS semakin tinggi apabila dibekalkan dengan pesawat khas untuk digunakan Unit Pengesanan Udara Sarawak (SADU).

Justeru katanya, beliau percaya tugas pengawasan kini lebih mudah sekali gus membolehkan JHS menggandakan usaha membanteras kegiatan pembalakan haram.

"Hasil komitmen tinggi kerajaan negeri menerusi JHS, kegiatan pembalakan haram secara amnya adalah terkawal.

"Namun, tidak dinafikan kegiatan itu terus berlaku di beberapa tempat dan ia menuntut kita untuk meningkatkan operasi penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Ibu Pejabat JHS dan laman sesawang jabatan itu di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, selain penggunaan teknologi terkini, usaha untuk membanteras kegiatan pembalakan haram harus mendapat sokongan masyarakat setempat.

"Penyertaan orang ramai dengan menyalurkan maklumat akan memastikan usaha kita itu lebih berkesan.

"Orang ramai tidak perlu takut untuk memaklumkan kepada pihak penguat kuasa jika ada aktiviti mencurigakan di hutan di kawasan mereka," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 3:09pm
d