mutakhir

2 lelaki ditahan memiliki senjata api

Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

Pengkalan Hulu: Polis merampas raifal dan senapang patah selepas menahan dua lelaki di Kebun Belukar Semang, Kampung Tasek, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, kira-kira 11 pagi semalam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan lelaki berusia 34 tahun di Kebun Belukar Semang, Kampung Tasek, di sini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek didapati menyimpan satu bungkusan plastik hitam di perdu buluh dalam kebun berkenaan yang mengandungi selaras senapang raifal dan satu kelopak yang berisi tiga peluru jenis 0.22 mm.

Katanya, suspek tidak mengakui pemilik senjata dan mendakwa senjata terbabit milik rakannya, malah semakan rekod lampau mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Hasil maklumat lanjut, lebih kurang 12.30 tengah hari pada hari sama, pasukan D9 IPK Perak dengan bantuan unit Siasatan Khas (D8) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, seorang lelaki berusia 65 tahun berdekatan Kebun Pisang Belukar Semang kampung sama berjaya ditahan.

"Seterusnya dengan dipandu suspek, pemeriksaan dibuat di sebuah pondok dalam kebun membolehkan polis menemui selaras senapang patah berhulu kayu tanpa jenama serta beg pinggang jenama Motor Kaki berwarna hijau mengandungi 9 butir peluru penabur," katanya dalam kenyataannya, di sini, hari ini.

Zulkepli berkata, suspek mengakui senjata berkenaan miliknya yang dibeli daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira 7 tahun lalu dengan harga RM3,500 bersama 70 butir peluru bercampur-campur untuk tujuan menjaga kebun daripada dimasuki babi hutan dan haiwan liar.

Semakan rekod kesalahan lampau, katanya, polis mendapati suspek itu juga tidak ada sebarang kes jenayah lampau.

Katanya, pihaknya memohon reman di Mahkamah Majistret Gerik hari ini terhadap kedua-dua dan dibenarkan sehingga 15 Disember ini.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 5:15pm
d