mutakhir

Mangsa perahu karam ditemui lemas

Oleh Erika George

Kapit: Lelaki yang hilang selepas perahu panjangnya karam pada malam Rabu lalu, ditemui terapung pada 12.15 tengah di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mayat Wilson Rimba, 25, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 500 meter dari perahunya ditemui.

Menurutnya, mayatnya ditemui lengkap berpakaian kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, perahu yang dikemudinya ditemui dalam keadaan terbalik pada 10.40 malam Rabu itu oleh penduduk rumah panjang di Sungai Katibas.

"Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song hanya menerima laporan mengenai insiden terbabit pada 10.25 malam tadi disebabkan faktor kawasan kejadian terletak jauh di kawasan hulu," katanya.

Beliau menambah, perahu terbabit yang dijumpai dalam keadaan terbalik oleh penduduk di Rumah Panjang Beragok, Nanga Tengadak didapati turut pecah pada bahagian kemudi perahu.

Katanya, kemungkinan perahu mangsa terlanggar kayu atau bongkah batu di dasar sungai tetapi siasatan lanjut masih dijalankan berhubung insiden terbabit.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 6:30pm
d