mutakhir

6 kluster baharu Covid-19 dikesan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan enam lagi kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Sungai Putus membabitkan daerah Klang di Selangor.

"Kluster tempat kerja ini dikesan pada 9 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja iaitu sebuah kilang.

"Sehingga hari ini, seramai 2,001 individu disaring, 427 kes dikesan positif Covid-19 membabitkan sembilan warganegara dan 418 bukan warganegara.

"Kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Erima juga membabitkan tempat kerja dikesan di Gombak pada 7 Disember lalu, susulan itu majikannya melakukan saringan bersasar dan sehingga hari ini seramai 83 individu disaring, di mana 29 kes dikesan positif," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ketiga dikenali Kluster Tapak Bina Jalan Berangan membabitkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa, dan Kepong di Kuala Lumpur.

"Kluster ini dikesan pada 9 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan tapak binaan, sehingga hari ini, 1,246 individu disaring dan enam kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster keempat pula dikenali sebagai Kluster Langkasuka membabitkan daerah Kulai dan Johor Bahru di Johor yang dikesan menerusi kes indeks pada 5 Disember lalu.

"Sehingga hari ini, seramai 113 individu disaring, di mana 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Menurutnya, kluster kelima pula dikenali sebagai Kluster Jalan College membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Petaling di Selangor.

Katanya, kes indeks dilaporkan positif Covid-19 kluster itu dikesan pada 3 Disember lalu menerusi saringan individu bergejala dan seramai 35 individu sudah disaring, 11 daripadanya dikesan positif Covid-19.

"Kluster terakhir adalah Kluster Sungai Keluang membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

"Sehingga hari ini, 99 individu disaring, di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 7:21pm
    d