mutakhir

Kantoi curi balak

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

Pengkalan Hulu: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) menahan dua lelaki ditahan dan menyita enam tual balak dianggarkan bernilai RM10,000 dalam sekatan jalan raya (SJR), di sini, semalam.

Pengarah JPNP Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, penyitaan dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit yang membawa hasil hutan berkenaan dalam sebuah lori Isuzu berwarna merah gagal mengemukakan dokumen ketika ditahan dalam SJR yang dijalankan polis.

Katanya, penguat kuasa JPNP dari pejabat Hulu Perak yang membuat pemeriksaan mendapati dua lelaki terbabit membawa enam tual balak pelbagai spesis kayu hutan tanpa dokumen sah.

"Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pengkalan Hulu dan lori serta muatan disita, manakala dua suspek terbabit dilepaskan dengan bon jaminan polis.

"Kedua-dua suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 68 (1) dan Seksyen 84 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 2985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut kes dijalankan pegawai penyiasat JPNP.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 8:47pm
d