mutakhir

65 pengguna e-skuter diperiksa

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 65 individu menggunakan skuter elektronik (e-skuter) diperiksa dalam operasi di sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi dijalankan susulan terdapat aduan berhubung pengguna e-skuter yang melakukan kesalahan.

"Antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna e-skuter ini adalah menunggang kenderaan secara berdua; tidak menggunakan laluan ataupun siar kaki yang disediakan dan menunggang secara berbahaya di tengah jalan dan secara berkumpulan.

"Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana bagi kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan jika sabitan kesalahan kedua boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh 3 bulan," katanya.

Zulkefly berkata, penggunaan e-skuter mula diperkenalkan 29 Mei lalu dan menjadi trend masa kini serta mudah didapati kerana disediakan bagi kemudahan pengguna untuk bergerak dalam destinasi yang agak jauh bagi pejalan kaki ke pengangkutan awam.

"Lokasi e-skuter ini beroperasi di sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka. Kenderaan e-skuter tergolong di bawah takrifan kenderaan mikromobiliti.

"Penggunaan e-skuter di atas jalan raya tanpa pengawalan, pengawasan dan laluan yang ditetapkan boleh membahayakan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 10:46am
d