mutakhir

Lelaki disyaki tipu jual tanah ditahan

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit penipuan penjualan tanah dengan harga murah di Santubong, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes itu Selasa lalu.

Katanya, seorang penjawat awam mendakwa menjadi mangsa penipuan pembelian sebidang tanah dengan harga murah di kawasan Santubong daripada lelaki dikenali 'Abang Ram'

"Suspek menawarkan mangsa satu bidang tanah di kawasan Santubong yang tidak wujud dengan meminta wang deposit RM1,512 tanpa diserahkan dokumen pembelian.

"Pada Oktober tahun lalu, mangsa membuat pembayaran secara tunai kepada suspek dan penyerahan wang dilakukan di kawasan Santubong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sehingga Januari tahun ini mangsa masih belum memperoleh tanah yang dinyatakan dan suspek gagal dihubungi sebelum membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki berusia 47 tahun di Gita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, susulan tangkapan itu, terdapat dua lagi laporan polis diterima membabitkan suspek yang sama

"Kedua-dua mangsa adalah suri rumah berumur 37 dan 50 tahun yang turut menjadi mangsa penipuan pembelian tanah di Santubong dan menyerahkan wang pendahuluan tunai berjumlah RM3,112 kepada suspek," katanya.

Merbin berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 14 Disember ini.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah menipu pada 2017," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 1:53pm
d