mutakhir

Buaya Tanjung Bidara sudah mati

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Tiga nelayan terkejut apabila mendapati objek seakan-akan tunggul hanyut sebenarnya adalah buaya tembaga sepanjang kira-kira lima meter dan seberat kira-kira 200 kilogram (kg).

Nelayan berkenaan terserempak dengan kejadian itu pada kedudukan satu batu nautika dari pantai Tanjung Bidara dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, pada kejadian jam 11.45 pagi itu, Othman Ibrahim, 63, Ramlan Kadir, 37, dan Amirul Azim Kamarulzaman, 22, mendapati reptilia itu sudah mati.

Othman berkata, ketika penemuan, mereka dalam perjalanan pulang selepas selesai menarik rawai.

"Kami dalam perjalanan pulang ke pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak sebelum ternampak objek umpama tunggul hanyut.

"Pada mulanya, kami tidak berminat untuk menghampirinya. Bagaimanapun, kami berpatah balik kerana objek itu agak berkilat terkena pancaran matahari," katanya ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak.

Menurut Othman, sebaik menghampiri objek itu, mereka terkejut apabila mendapati ia adalah buaya yang sudah mati.

Katanya, selepas memastikan reptilia itu benar-benar sudah mati, mereka mengikat tali pada kepalanya untuk ditunda ke darat.

Oleh sebab reptilia itu berat, Othman meminta bantuan dua nelayan yang kebetulan berada berhampiran untuk bersama-sama menundanya ke darat.

"Tiba di gigi pantai, mereka menarik buaya itu ke pantai sebelum orang ramai yang berada di lokasi berhampiran mengerumuninya.

Othman bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada ia reptilia sama yang pernah dilihat berenang di perairan itu pada awal tahun ini.

Beberapa kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) datang ke lokasi jam 2 petang untuk melakukan pemeriksaan dan proses lanjut.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 2:30pm
d