mutakhir

Rezeki jual 'ikan darat' di musim tengkujuh [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Tidak dapat menoreh sepanjang musim tengkujuh bukan penghalang buat Nazita Hamat untuk mencari rezeki dengan menjual 'ikan darat' atau ikan air tawar sehingga 300 kilogram (kg) sehari.

Nazita, 48, berniaga ikan terbabit setiap kali musim tengkujuh sejak lebih 10 tahun lalu malah cukup dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai tauke ikan darat, pemilik gerai kecil di Jalan Lubok Jong, di sini.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu turut dibantu isteri, Siti Noor Hanafi, 46, kerana tidak menang tangan melayan pelanggan yang setiap hari memenuhi gerainya untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan darat.

"Saya membuka gerai ini bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang, dengan menjual pelbagai jenis ikan darat seperti baung, patin, pepuyu, tenggala, selat dan haruan yang diperolehi daripada pembekal yang juga penduduk kampung sekitar.

"Ikan darat dijual bermula RM10 sehingga RM80 sekilogram bergantung kepada jenis ikan, malah kami juga menawarkan khidmat menyiang ikan secara percuma memandangkan ramai antara pelanggan yang tidak tahu menyiang ikan ini selain malas kerana prosesnya yang agak rumit.

"Selain itu, saya mengamalkan perniagaan menjual sambil menderma yang mana ada beberapa jenis ikan yang saya bagi percuma saja pada pelanggan terutama spesies yang sukar didapati, asalkan pelanggan benar-benar mahukannya," katanya yang tinggal di Kampung Serongga, di sini.

Nazita berkata, dia mendapatkan bekalan ikan darat daripada hampir 50 pembekal iaitu penduduk kampung yang memukat atau mencari ikan berkenaan untuknya setiap tahun.

"Menjual ikan darat ini adalah kerja hakiki saya setiap kali hujung tahun, malah saya sendiri teruja bila musim tengkujuh tiba kerana hasilnya yang agak lumayan walaupun terpaksa bergelumang dengan bau hanyir setiap masa.

"Pelanggan saya bukan saja dalam kalangan penduduk tempatan malah seluruh Kelantan selain ada masanya gerai terbabit disinggahi pengunjung dari Kedah, Perak dan Kuala Lumpur yang kebetulan melalui jalan ini.

"Mereka mungkin 'tergoda' dengan pelbagai jenis ikan yang saya gantung di sekeliling gerai bagi menarik pelanggan, tambahan pula ikan darat hanya boleh diperolehi setiap kali musim tengkujuh saja kerana kebiasaan ia sukar diperolehi," katanya.

Katanya, dia turut menitik beratkan kualiti ikan dengan memastikan ia sentiasa segar serta tidak buruk dan hanya mendapatkannya daripada pembekal yang menangkap secara betul bukan menggunakan renjatan elektrik.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 10:44am
d