mutakhir

Rampas 4,900 karton rokok seludup

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok seludup selepas menahan lelaki dalam serbuan di Jalan Kilang Padi, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pada 3.30 petang berjaya menahan lelaki berusia 38 tahun.

"Tangkapan suspek membawa kepada penemuan 4,900 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM875,000 yang disembunyikan di bahagian belakang sebuah lori dan kereta.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 942,460," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan salah satu sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Selangor," katanya.

Sehubungan itu, Rizal meminta masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 12:01pm
d