mutakhir

Orang Asli gotong-royong bina empat jambatan kayu

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Penduduk Orang Asli di Pos Balar, dekat sini, mengambil inisiatif membina empat jambatan sementara, hari ini, selepas ia runtuh empat bulan lalu menyebabkan mereka sukar ke kawasan bandar.

Penghulu Pos Balar, Ahmadi Jalil Baiyor berkata, penduduk berusaha sendiri bagi membina jambatan kayu itu supaya tidak tertangguh terlalu lama.

Katanya, jambatan itu runtuh berikutan hujan lebat sejak empat bulan lalu dan menyukarkan penduduk untuk keluar ke bandar.

Menurutnya, pembinaan jambatan secara gotong-royong itu hanya untuk keperluan sementara tetapi sekurang-kurangnya boleh dilalui motosikal.

Penduduk, Harun Asmadi, 42, pula berharap kerajaan dapat membina jambatan lebih sempurna tahun depan.

Katanya, jambatan sementara yang dibina secara gotong-royong itu mungkin tidak bertahan lama terutama digunakan musim hujan sekarang.

"Mungkin apabila hujan lebat boleh menyebabkan jambatan itu runtuh sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengakui penduduk Orang Asli terpaksa gotong-royong untuk membina jambatan sementara itu.

Katanya, kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi membina jambatan konkrit di laluan itu tahun depan untuk kegunaan yang lebih selesa.

"Kita sentiasa menerima aduan daripada penduduk susulan kerap berlaku banjir lumpur hingga menyebabkan jalan rosak teruk dan berlaku jambatan runtuh," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 1:00pm
d