mutakhir

Warga Indonesia meninggal dunia dalam kereta

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam kereta di sebuah pasar raya di Taman Bendahara, di sini, hari ini.

Susulan itu, pihak bomba dipanggil pada jam 10.39 pagi untuk membuka pintu kereta yang terkunci.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah Perodua Myvi terkunci dan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri.

"Pihak bomba memulakan operasi membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas. Dalam masa sama, pihak ambulans dan polis turut berada di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, sebaik pintu dibuka, pihak perubatan melakukan pemeriksaan dan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

"Mangsa dikenali sebagai Syamsul Siniden, 47, adalah warga Indonesia.

"Mayat diserahkan kepada polis sebaik anggota bertugas membuat sanitasi. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.12 tengah hari," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 3:22pm
d