mutakhir

7 kenderaan kemalangan, lebuh raya sesak 8 kilometer

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 261.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan Port Dickson-Seremban di sini, hari ini menyebabkan berlaku kesesakan sejauh kira-kira lapan kilometer.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 Pegawai Bomba Kanan II N Sundarum berkata, kemalangan itu berlaku pada 3.09 petang.

Menurutnya, maklumat awal dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira 20 orang dalam kenderaan yang terbabit kemalangan itu.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan serius atau mangsa yang tersepit dan setakat ini hanya sekitar empat individu termasuk dua wanita mengalami cedera ringan.

"Mereka dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, jumlah kenderaan di lebuh raya dilihat meningkat sejak awal petang tadi susulan ramai pengguna kembali ke lokasi masing-masing terutamanya ke ibu negara.

Ada kalangan mereka pulang ke kampung atau pelbagai destinasi lain mulai Jumaat lalu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesetengah tempat, masih dikuatkuasakan.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 5:36pm
d