mutakhir

Suspek panas baran, tertekan, positif syabu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Lelaki yang menikam anak perempuannya berusia 18 bulan hingga parah di Taman Puchong Permai di sini, semalam dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas berpisah dengan isteri.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan berusia 27 tahun itu dikatakan bercerai dengan isterinya menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine," katanya ketika ditemui di Subang Perdana di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, dalam pada itu mangsa dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan, malam tadi.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan di HKL, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

"Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang jiran berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia mendengar bunyi ketukan kuat pada dinding rumah suspek di flat berkenaan sebelum melihat nenek mangsa mundar-mandir di hadapan rumah.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 30-an, berkata, ketika kejadian dia bersama anak-anaknya sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi ketukan kuat pada dinding dari rumah sebelah.

"Pada mulanya, saya mengingatkan bunyi itu adalah bunyi jiran sedang bertukang. Namun tidak lama kemudian, saya melihat jiran (ibu suspek) dalam keadaan panik di luar rumahnya.

"Dia (jiran) memaklumkan anak lelakinya mengamuk lalu menghalaunya keluar rumah sebelum mengunci pintu dari dalam. Ketika itu, dia tidak memaklumkan apa yang berlaku sebenarnya (kejadian tikam).

"Beberapa minit kemudian, anggota polis serta bomba datang dan meminta lelaki itu membuka pintu, namun dia enggan menyebabkan pihak polis terpaksa memecah pintu rumah berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Azie berkata, polis kemudian menahan lelaki berkenaan dan membawa bayi berkenaan yang dalam keadaan berlumuran darah keluar dari rumah.

"Saya mengenali keluarga itu selepas tinggal di sini sejak tiga tahun lalu. Saya difahamkan bayi berkenaan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu.

"Sepanjang tempoh itu, bayi berkenaan dijaga oleh neneknya. Ibu suspek ada memberitahu bahawa anaknya menjadi panas baran selepas bercerai dengan isterinya," katanya.

Berita berkaitan

Bayi perempuan parah ditikam bapa

Bayi ditikam bapa stabil selepas jalani pembedahan

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 5:57pm
d