mutakhir

Selamatkan Felda untuk kepentingan peneroka [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Muar: Kerajaan bersetuju untuk menyelamatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya tanah milik peneroka tidak tergadai kepada orang asing.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai langkah dirangka bagi memulihkan kembali Felda selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

Katanya, beliau sendiri pernah menentang penyenaraian Felda sebagai syarikat awam menerusi FGV Holdings Bhd ketika berada dalam kabinet sebelum langkah berkenaan dibuat.

"Isu Felda bukan masalah kecil. Ia masalah cukup besar dengan jumlah peneroka sahaja hampir dua juta dan ia adalah ladang terbesar di dunia membabitkan keluasan 1.2 juta hektar.

"Kerajaan ambil langkah selamatkan Felda untuk kembalikan hak sebenar peneroka.

"Paling penting komitmen semua pihak untuk memastikan hartanah berbilion ringgit tidak tergadai kepada orang asing atau pada orang yang bukan berhak.

"Sebab itu menjadi komitmen kerajaan PN untuk berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan hak orang Melayu dalam negara kita," katanya ketika merasmikan Majlis Perjumpaan Pemimpin bersama Masyarakat Parlimen Pagoh di Dewan Serbaguna Felda Sri Jaya, dekat sini, hari ini.

Oktober lalu, kabinet dilaporkan meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, 14 Oktober lalu.

Antara cadangan diterima oleh Jemaah Menteri ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pemulihan Felda adalah usaha amat penting PN untuk mempertahankan hak orang Melayu.

"Hak bangsa bukan Melayu kerajaan tidak sentuh dan jika mereka memerlukan bantuan, kita akan bantu.

"Kerajaan tidak akan ambil hak orang lain namun akan pelihara jika ia milik orang Melayu. Itu komitmen PN," katanya.

Beliau juga mahu Felda mencatatkan keuntungan semula dalam masa terdekat selepas pelbagai langkah dirangka bagi menyelamatkannya.

"Saya sudah maklumkan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh supaya pulihkan segera Felda dan penerokanya.

"Saya mahu Felda kembali catatkan keuntungan dalam masa terdekat dan mereka memberi jaminan mulai 2023, Felda akan kembali untung," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 6:56pm
d