mutakhir

Stadium Mini Ffira Mikah diarah tukar nama

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri sudah mengarahkan nama Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap ditukar kepada nama lain bagi meleraikan kontroversi yang mengaitkan nama stadium itu dengan nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pertukaran nama stadium berkenaan sehingga mencetuskan kontroversi semalam.

"Apabila saya dapat tahu, saya sendiri hairan dengan nama itu, kita tidak dimaklumkan mengenai cadangan nama terbabit sebelum ini kerana ia di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).

"Sepatutnya kita tidak perlu letak nama sebegitu kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat, bagaimanapun saya anggap perkara ini selesai kerana difahamkan nama stadium itu akan ditukar selepas ini," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sudah dinasihat memilih nama tokoh sejarah di daerah itu atau nama individu yang pernah berjasa yang dianggap sesuai bagi menggantikan nama Ffira Mikah.

Semalam, tular di media sosial apabila orang ramai mempertikai nama stadium mini di Padang Terap itu yang didakwa menggunakan secara terbalik nama Hakim Ariff.

Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang itu dimiliki MDPT dan dirasmikan Hakim Ariff selaku Pegawai Daerah pada 7 Disember lalu selepas dinaik taraf.

Difahamkan, kerja menurunkan papan tanda nama Stadium Mini Ffira Mikah sudah dilakukan hari ini, dan namanya dijangka ditukar kembali kepada Stadium Mini Kuala Nerang.

Sementara itu, Hakim Ariff dalam satu kenyataan yang dilaporkan media, menyangkal dakwaan yang tular bahawa beliau menamakan Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang itu sempena dengan namanya yang diterbalikkan.

Dakwanya, nama baharu stadium berkenaan tiada kaitan dengan namanya dan hanya secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.

"Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

"Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, 'Ffira' bermaksud sesuatu yang hebat, manakala 'Mikah' dalam bahasa Arab sempena nama malaikat," katanya.

Hakim Ariff yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap berkata, selepas dilakukan penambahbaikan dan penjenamaan semula stadium berkenaan, pihaknya mahu menyuntik semangat baharu dengan pemilihan nama unik bagi menarik perhatian ramai.

"Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria. Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu," katanya.

Hakim Ariff berkata, beliau yang memohon peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan yang sebelum ini amat daif.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 10:05pm
d