mutakhir

170kg daun ketum dirampas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kuala Perlis: Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai cuba menyeludup 170 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan Op Benteng Covid di Jalan Kampung Pulau Ketam, di sini, semalam.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian 9.30 pagi itu, anggotanya mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Namun sebaik menyedari diekori, pemandu berusia 23 tahun bertindak keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemukan 17 bungkusan hitam yang di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum yang disembunyikan di dalam but belakang dan tempat duduk kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Ghani berkata, lelaki itu dipercayai menetap di Padang Besar dan anggaran berat daun ketum berkenaan adalah sebanyak 170 kg, manakala nilainya dianggarkan RM5,100.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta itu yang dianggarkan bernilai RM13,000 untuk membantu siasatan.

"Kita tidak menolak berkemungkinan daun ketum itu untuk diseludup ke negara jiran, namun siasatan masih dijalankan.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum dan kenderaan dianggarkan sebanyak RM18,100," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 9:09am
d