mutakhir

Cap palsu: Pegawai imigresen dipenjara 30 hari, denda RM12,000 [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan menerusi Op Selat November lalu dipenjara 30 hari dan denda RM12,000 bagi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,060 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Akashah Roslan, 38, dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama empat bulan.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, pegawai Gred KP19 berkenaan didakwa menerima wang berjumlah RM3,060 daripada individu dikenali Mohd Azril Azizan melalui akaun CIMB miliknya berkaitan dengan kerja pejabatnya.

Akashah yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 hingga 14 September 2018 di bank CIMB, Jalan Mahsuri, Bandar Bayan Baru dalam daerah Barat Daya, dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) S Silvaranjini dan Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Benjamin Tan Yi Bin.

Media semalam melaporkan seramai lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan melalui Op Selat bulan lalu akan didakwa di enam negeri berasingan pada hari ini dan Rabu.

Kesemua pegawai itu berdepan pertuduhan atas kesalahan menerima sogokan selepas memperakukan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar Malaysia.

Pada 16 November lalu, SPRM menjalankan satu operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 12:29pm
d