mutakhir

Anggota polis cabul, ugut kekasih didakwa

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap lapan tuduhan mencabul, melakukan peras ugut dan seks oral terhadap sepasang kekasih di Pengkalan Chepa pada 4 Disember lalu.

Mohd Hanafi Mohd Zaki, 35, dan Mohammad Izauddin Abd Wahab, 30, didakwa terhadap tiga pertuduhan secara bersama, manakala masing-masing berhadapan dua dan tiga pertuduhan lagi yang didakwa secara berasingan.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hanafi dan Mohamad Izauddin didakwa secara bersama mengarahkan mangsa lelaki berusia 20 tahun melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa wanita, 20, di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam, 4 Disember 2020.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa bersama-sama mengarahkan mangsa wanita itu supaya melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki serta melakukan pemerasan dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat agama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabitkan kesalahan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang sabit bersalah boleh mengakibatkan tertuduh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mohd Hanafi juga menghadapi dua pertuduhan mencabul mangsa wanita dalam kereta Honda Civic dan mengarahkan mangsa lelaki menanggalkan pakaian hingga bogel dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa, antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam, 4 Disember 2020 di Jalan Padang Tembak, di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara Mohammad Izuaddin pula menghadapi tiga lagi pertuduhan mencederakan mangsa lelaki dengan menumbuk belakang telinga kiri sehingga lebam, mengarahkan mangsa wanita menanggalkan pakaian hingga bogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan serta melakukan persetubuhan luar tabii ke atas mangsa wanita.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah, di sini dan tempat letak kereta dekat Masjid Padang Tembak, di sini pada jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam, 4 Disember 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali serta hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Mohamad.

Mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd Hanafi dan RM30,000 kepada Mohammad Izauddin masing-masing dengan empat penjamin bagi kesemua pertuduhan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari.

Berita berkaitan

  • Polis paksa seks oral, rakam hubungan seks [METROTV]
  • Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 2:52pm
    d