mutakhir

Mengaku salah terima sogokan, pegawai imigresen didenda RM30,000

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan menerusi Ops Selat bulan lalu, mengaku salah atas tiga pertuduhan pilihan menerima suapan bagi mendapatkan cap perakuan keluar masuk negara membabitkan warga asing, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin di Mahkamah Sesyen Melaka, di sini, hari ini.

Susulan itu, tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, dijatuhi hukuman denda RM30,000.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama pada 30 Julai dia ketika menjawat jawatan Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Bangunan Sultan Iskandar Shah, Johor Bahru, didapati memperoleh suatu barang berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM360 oleh pemberi, Mohd Azril Azizan.

Pemberian itu adalah untuk mendapatkan perakuan cap keluar masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia.

Sementara, mengikut pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama yang membabitkan suapan masing-masing bernilai RM320 dan RM800.

Semua kesalahan itu dilakukan menerusi akaun bank beralamat di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai, Ogos dan September 2018.

Justeru, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau keduanya.

Tertuduh merayu supaya pihak mahkamah mengenakan hukuman yang ringan dengan mengambil kira kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya, selain dia baru mendirikan rumah tangga Mac lalu dan bakal menerima cahaya mata pertama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh menggadaikan keselamatan negara, selain kes ini turut mendapat perhatian masyarakat.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Mohd Nasir pada penghakimannya menetapkan hukuman denda RM10,000 setiap satu pertuduhan atau enam bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 3:02pm
d