mutakhir

Polis buru lelaki curi beg jemaah dalam masjid

Oleh BERNAMA

Johor Bahru: Polis sedang memburu seorang lelaki yang mencuri beg tangan seorang jemaah wanita di Masjid Wadi Hassan, Kampung Wadi Hassan di sini, yang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi rakaman itu, kejadian didapati berlaku pada jam 7.13 malam dua hari lalu ketika jemaah wanita berkenaan sedang menunaikan solat Maghrib.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini belum ada tangkapan dan kita sedang mengenal pasti dan menjejaki suspek," katanya.

Semalam, tular di laman sosial Facebook sebuah rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki memakai baju berwarna kuning masuk ke ruang solat jemaah wanita dan melarikan sebuah beg.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 5:52pm
d