mutakhir

Hak golongan B40 terbela

Oleh hmetro

Kuala Lumpur: Keprihatinan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 menambah beberapa peruntukan dan inisiatif membantu golongan B40 dilihat sebagai usaha yang baik.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata, ia memfokuskan golongan B40 yang berbentuk bantuan, sekali gus memberi impak kepada kehidupan, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Menurutnya, melihat kepada konteks B40, kerajaan mengubah satu terma iaitu dari bantuan sara hidup kepada bantuan prihatin rakyat yang memberi impak besar kepada golongan ini.

"Bantuan kali ini lebih bersasar dan fokus kepada B40.

"Jadi, dengan Belanjawan 2021 ini, kita dapat lihat kerajaan berusaha membantu dan hak mereka terbela," katanya.

Dr Abdul Rahim berkata, fokus kerajaan membantu golongan B40 menerusi pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini dapat dilihat menerusi beberapa inisiatif.

"Pertama kerajaan mewujudkan satu Pusat Mediasi Covid-19 dan Akta Langkah-langkah Sementara bagi mengurangkan beban Covid-19 secara khusus kepada golongan ini.

"Keduanya menerusi Program Baucar 50 Perlindungan Tenang untuk golongan B40 termasuk takaful hayat dan kemalangan diri dan ia impak besar serta sangat penting bagi saya," katanya.

Belanjawan 2021 ini juga memberi fokus kepada i-Tekad, satu usaha Kerajaan yang fokus kepada segmen usahawan B40, sekali gus melihat bagaimana mereka memperluaskan, menjana pendapatan dan menjadi ruang kepada golongan ini menambahkan pendapatan.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 9:54am
d