mutakhir

Tayar lori punca banjir di Jerantut

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Kemelut banjir kilat yang sering berlaku di tengah bandar Jerantut setiap kali hujan lebat hingga meresahkan penduduk akhirnya terjawab, apabila didapati ia berpunca daripada tayar lori yang dibuang ke dalam longkang besar berdekatan Jalan Inderapura di sini.

Sejak beberapa tahun lalu, pengguna jalan raya sering bimbang menggunakan laluan itu jika hujan lebat kerana air naik dengan cepat menyebabkan banyak kereta kecil tersangkut walaupun terdapat longkang besar di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalu Lintas, Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Ridzuan Mansor berkata isu banjir kilat di kawasan hadapan Stesen Minyak Caltex itu telah menghantui pengguna jalan raya di situ sejak beberapa tahun ini

Katanya, ramai yang bingung mengapa ia cepat dinaiki air, walaupun terdapat longkang besar untuk aliran air malah tidak berlaku di kawasan lain.

"MDJ mengadakan operasi bersepadu bersama agensi SWCorp, Jabatan Kerja Raya (JKR), Alam Flora, Roadcare, Polis Diraja Malaysia, dan Balai Bomba Dan Penyelamat Jerantut untuk mencari punca sebenar.

"Kami yakin, kejadian itu berlaku berkemungkinan besar disebabkan longkang sedia ada itu tersumbat hingga cepat berlaku banjir kilat," katanya.

Ridzuan berkata, semalam pasukan bomba bertindak turun ke dalam longkang itu bagi membuat pemeriksaan.

"Bomba turun dengan bantuan alat pernafasan untuk membuat tinjauan ke dalam longkang tertutup itu.

"Hasilnya sungguh mengejutkan apabila bomba mendapati terdapat tiga tayar lori tersekat di dalam longkang itu dan terpaksa menggunakan jengkaut (backhoe) untuk mengeluarkannya," katanya.

Beliau berkata, tayar lori yang memenuhi longkang itu menyebabkan aliran air terganggu dan menyebabkan air tersekat dan menyebabkan kawasan itu mudah dilanda banjit kilat.

"Operasi bermula 12 tengahari sehingga 6.45 petang semalam diharap dapat menyelesaikan masalah yang menghantui pengguna jalan raya di kawasan itu.

"MDJ kesal dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab pihak yang membuang tayar ke dalam longkang itu hingga turut menyebabkan kerosakan harta benda dan risiko keselamatan kepada penduduk," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 11:09am
d