mutakhir

Petani miliki senapang jenis AK47 ditahan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Seorang petani ditahan kerana memiliki selaras senapang jenis AK47 dipercayai digunakan untuk menembak gajah yang merosakkan kebunnya di Kampung Bahagia, Kuala Krai.

Penahanan suspek dilakukan hasil serbuan di rumahnya oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Operasi Khas (D8) dan Siasatan Khas (D9) jam 11.30 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, berkata dalam serbuan itu turut menemui 142 butir peluru hidup iaitu 126 jenis Bore dan selebihnya 5.56 mm.

"Hasil soal siasat dijalankan, suspek yang berusia 50 tahun itu memberitahu senjata diperoleh dari seorang rakannya lima tahun lalu, selepas mengadu mengenai gajah yang sering merosakkan kebun buah seluas enam hektar miliknya.

"Rakannya memberikan senjata itu kepada suspek untuk tujuan menjaga kebunnya dan dalam tempoh itu dua gajah sudah ditembaknya.

"Suspek juga mengaku kali terakhir menggunakan senjata itu dua tahun lalu selepas sudah tiada lagi ancaman gajah liar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, pihaknya turut menahan isteri suspek yang berusia 50 tahun dan sedang mengesan rakan suspek yang memberikan senjata itu kepadanya.

Menurutnya lagi, pasangan suami isteri itu ditahan reman bermula semalam hingga 19 Disember ini.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.

"Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki

senjata api dan peluru dengan menyalahi undang-undang dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 2:48pm
d